Ahad, 21 Jun 2020

Dua maut, dua parah kereta putus dua di Tambunan

KERETA dinaiki empat mangsa terputus dua selepas hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik.FOTO Juwan Riduan
DUA maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki terbabas lalu merempuh tiang elektrik dan terputus dua di Kilometer 4 Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, Keningau, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, empat mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Minodung menuju ke Kampung Kaingaran, Tambunan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kereta dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama tiga penumpang termasuk dua wanita.

Katanya, ketika sampai di selekoh, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki semua mangsa terputus dua dan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

"Susulan itu dua wanita meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang hadapan dan penumpang belakang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang belakang iaitu seorang remaja parah.

"Semua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang disyaki memandu laju sehingga terbabas sendiri," katanya.

Shahrudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Share This