"Cuba kejut rakan tapi tak bangun"
KEADAAN Vincent M Orel. FOTO Ihsan TLDM "TIBA-TIBA keadaan menjadi gelap, keadaan di belakang trak sempit. Saya cari dan cuba kej...

http://www.buletinsabah.com/2020/06/cuba-kejut-rakan-tapi-tak-bangun.html
![]() |
KEADAAN Vincent M Orel. FOTO Ihsan TLDM |
"TIBA-TIBA keadaan menjadi gelap, keadaan di belakang trak sempit. Saya cari dan cuba kejutkan rakan setugas banyak kali, tapi arwah tak bangun," demikian kata Laskar Kelas II Vincent M Orel, 24, yang terselamat daripada nahas mengorbankan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Semalam, jam 12.55 tengah hari, trak tentera dari pangkalan TLDM Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan menuju pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar terbabas di Kilometer 83, Jalan Ranau - Tamparuli berhampiran Loji Rawatan Air Pekan Nabalu, Ranau hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh dan menuruni bukit.
Vincent berkata, dalam keadaan sedar dia cuba mencari sahabatnya, arwah Laskar Kelas 1 Muhammad Arif Idris, 26 yang ditugaskan bersama menjaga peluru di ruangan belakang trak.
Katanya, arwah Laskar Kanan Maslim Abdul Rahim, 35, dan arwah Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan, 26 (pemandu) berada di hadapan ketika kejadian.
"Keadaan gelap kerana saya dan arwah di belakang ditimpa dinding trak yang kemek dan saya segera mencari arwah (Muhammad Arif) dalam keadaan sempit."
"Saya cuba membangunkan arwah beberapa kali tapi arwah tidak bergerak sebelum saya membawanya keluar sambil dibantu anggota TLDM (pengiring), polis (pengiring) dan orang awam di lokasi," katanya.
Menurutnya yang menjadi anggota TLDM pada tahun 2017, dia mengenali arwah Muhammad Arif sejak enam bulan lalu.
"Selepas bertugas di pangkalan TLDM Sandakan, dia (arwah) adalah rakan saya yang paling rapat dan ini ujian besar bagi saya sendiri," ujarnya.
Vincent memaklumkan dia dipindahkan dari ke Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Sepanggar pada malam tadi sejurus selepas dirawat di Hospital Ranau.
Menurutnya, sebaik mengetahui kejadian menimpanya, ibunya bergegas mengambil penerbangan ke Sabah dari Miri, Sarawak untuk melawatnya.
Difahamkan, Vincent mengalami luka, lebam badan dan sakit sendi di beberapa bahagian badan masih menjalani rawatan. - Harian Metro