Jumaat, 12 Jun 2020

Covid-19: Satu kematian dilaporkan di Keningau

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kes kematian akibat Covid-19  hari ini setelah hampir sebulan kes kematian tidak dilaporkan di negeri ini.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes korban akibat wabak Covid-19 sebanyak enam kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan, Datuk Frankie Poon di Facebooknya memaklumkan, kematian  terbaharu itu direkodkan di Keningau.

Menurutnya, mangsa tersebut merupakan seorang wanita berusia 85 tahun dan meninggal di rumahnya di Keningau, semalam.

Sementara itu, kes kematian terbaharu itu  juga menambah jumlah  kes positif Covid-19 di negeri ini menjadi 356.

Setakat ini, Sabah mempunyai sembilan kes aktif yang masih dirawat di hospital.

Daripada jumlah tersebut,  dua kes aktif dikesan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Beaufort manakala Tawau, Penampang dan Pitas masing-masing mempunyai satu kes aktif.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  melaporkan hanya satu kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 119 kes.

Setakat hari ini, KKM melaporkan 33 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,402 kes, termasuk 7,168 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak empat kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada pesakit dilaporkan memerlukan alat bantuan pernafasan.


Loading...
Share This