Jumaat, 5 Jun 2020

Covid-19: Sabah catat tiga kes baharu, Lahad Datu kini zon hijau

KOTA KINABALU: Penampang kini bukan lagi daerah bebas jangkitan Covid-19 apabila satu daripada tiga kes baharu yang dilaporkan melibatkan daerah itu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, dua kes baharu lagi masing-masing dikesan di Kota Kinabalu dan Beaufort.

Menurut statistik terbaharu di Facebook beliau  petang tadi, jumlah kes yang masih aktif di Sabah adalah 10 kes, di mana kes tertinggi dicatat di Tawau dengan tiga kes, diikuti Kota Kinabalu dan Beaufort masing-masing dengan dua kes.

Manakala, terdapat tiga daerah yang masih mempunyai satu kes aktif iaitu Tuaran, Penampang dan Putatan.

Sehingga kini, sebanyak 336 pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj, termasuk satu kes yang dilaporkan hari ini, iaitu kes terakhir di Lahad Datu.

Perkembangan harian kes Covid-19 di Malaysia pula menyaksikan penurunan mendadak pada hari ini apabila hanya 19 kes baharu wabak itu dilaporkan, berbanding 277 kes semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 12 kes adalah kes penularan dalam negeri di mana tiga kes melibatkan bukan warganegara dan Sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Tujuh kes lagi adalah kes import, dan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,266.

Seramai 51 pesakit turut dilaporkan sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 6,610 kes.

Bagaimanapun, KKM telah mengumumkan satu kes kematian akibat jangkitan Covid-19 setelah 13 hari tidak mencatat sebarang kes kematian, dan jumlah keseluruhan kes kematian Malaysia setakat ini adalah sebanyak 116 kes.

Kes kematian terbaru itu membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan barah buah pinggang.

Beliau yang telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mei itu disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam, semalam.


Loading...
Share This