Jumaat, 5 Jun 2020

COVID-19: Malaysia sedang beralih ke fasa pemulihan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia sedang beralih ke fasa pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), membolehkan semua sektor dibuka, dengan pemantauan menggunakan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi menangani penularan wabak COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran akan dijalankan sekiranya berlaku peningkatan kes positif, atau mana-mana lokaliti dan kumpulan disyaki ada jangkitan, selain menjalankan saringan di kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya melihat kepentingan untuk menggunakan Akta 342 dan membuka semula sektor ekonomi, sosial dan pelajaran.

"Ini kita laksanakan dalam negara dahulu. Jika kita laksana dalam negara dan berjaya baru kita pertimbang laksanakan di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan juga akan melihat kawalan sempadan negara yang ketika ini diperketatkan, serta cadangan untuk kemungkinan memberi kelonggaran terhadap negara yang berada di paras tinggi dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Global.

"Mungkin kita akan lihat bagaimana boleh memberi kelonggaran kawalan sempadan kepada negara yang ada 'ranking' dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Global, negara yang dikelaskan sebagai zon hijau kita boleh pertimbangkan. Ini satu cadangan.

"Kita juga melihat jika saringan boleh dijalankan di negara masing-masing sebelum mereka ke negara kita. Jika kita boleh kuarantinkan mereka sebelum mereka datang ke negara kita, mungkin satu lagi cara untuk kita pertingkatkan kelonggaran sempadan dan pastikan yang tiada jangkitan berlaku.

"Ini dalam proses perbincangan dan kita akan melihat keadaan semasa, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan kita juga akan melihat perkembangan di negara lain," katanya.

Beliau berkata, dengan merujuk kepada indeks berkenaan, Malaysia berkemungkinan melihat kerjasama dengan negara jiran serta menggunakan platfrom ASEAN.

Loading...
Share This