Selasa, 30 Jun 2020

Covid-19: Hanya dua kes baharu hari ini

HANYA dua kes baharu Covid-19 dengan tiada pertambahan kematian direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan dua kes itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia kini 8,639 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan 164.

"Dua kes baharu itu membabitkan satu kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu lagi kes adalah penularan dalam negara iaitu kes saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud, Sabah.

"Kedua-dua kes ini membabitkan warga Malaysia dan tiada penularan dalam kalangan warga asing hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 20 kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,354 kes atau 96.7 peratus.

"Kini, ada empat individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) pada 26 Jun lalu, beberapa sub sektor pelancongan, pusat hiburan, aktiviti riadah dan pra sekolah akan dibuka semula esok.

"Ini adalah sebahagian daripada pendekatan negara dalam pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara terkawal dan tersusun.

"Dalam pada itu, pemantauan kes, kluster dan pemantauan Covid-19 masih dijalankan untuk memastikan penularan wabak ini dalam komuniti dikesan segera," katanya.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes harian adalah 303 kes.

"Jika dilihat pada taburan kes harian sepanjang pelaksanaan PKPP, ia adalah dalam lingkungan satu hingga dua angka.

"Kebanyakan sektor ekonomi sudah dibuka dan sedang beroperasi sepenuhnya, namun demikian penularan kes dalam komuniti adalah terkawal. Ini membuktikan 'pemulihan' negara sememangnya sudah bermula.

"Pemulihan ini adalah daripada segi mengimbangi nyawa dan mata pencarian rakyat," katanya.

Beliau berkata, memandangkan lebih banyak sub sektor akan dibuka pada esok, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan kerajaan untuk sama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia.

"Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom dalam sebuah taklimat secara maya, pandemik Covid-19 di dunia masih belum berakhir.

"Secara global, kes Covid-19 ini sebenarnya semakin meningkat dan beliau juga memberi amaran situasi pandemik ini di seluruh dunia dijangka akan semakin melarat," katanya.

Loading...
Share This