Rabu, 10 Jun 2020

Covid-19: Hanya 2 kes baharu, paling rendah direkodkan

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan kes terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dengan hanya dua kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,338 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada dua kes baharu yang dilaporkan itu, ada satu kes import dan satu lagi kes penularan tempatan membabitkan bukan warga Malaysia.

"Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan dalam kalangan warga Malaysia.

"Satu kes penularan di dalam negara yang dicatatkan adalah seorang bukan warganegara yang mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak, iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8,303," ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, dua hari berturut-turut tiada jangkitan Covid-19 berkaitan kes penularan tempatan membabitkan rakyat tempatan.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara juga meningkat kepada 7,014 kes, iaitu 84.1 peratus daripada keseluruhan kes, hari ini.

Menurutnya, ia susulan pertambahan 29 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

"Keseluruhannya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,206 kes.

"Seramai lima pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia bertambah sebanyak 118 kes, 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Berikut perincian kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dalam negara hari ini;

• Kes kematian ke-118 (kes ke-824) membabitkan lelaki warga Malaysia berusia 61 tahun.

• Mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.

• Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

• Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun, 7.03 pagi.

Loading...
Share This