Selasa, 9 Jun 2020

Covid-19: 7 kes baharu, 281 kes pesakit pulih

TERDAPAT 281 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah jumlah kes pulih tertinggi setakat ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 6,975 kes dengan kadar kesembuhan 83.7 peratus.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,336 kes positif keseluruhan.

Katanya, tujuh kes berkenaan membabitkan enam kes import serta satu kes penularan tempatan membabitkan bukan warganegara yang disaring ketika mahu mula bekerja manakala tiada kes membabitkan warganegara.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,244 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Sehingga kini, enam kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 117 kes iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Loading...
Share This