Isnin, 29 Jun 2020

Calon PM: Shafie Apdal umum keputusan dalam masa terdekat

MOHD SHAFIE APDAL
PENAMPANG - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung cadangan pencalonannya sebagai Perdana Menteri seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk membuat perbincangan bersama pemimpin tertinggi Warisan.

“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Itu satu cadangan dan saya perlu menelitinya secara mendalam termasuk mengadakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Warisan (Datuk Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Datuk Dr Yusof Yacob).

“Ini satu cabaran besar untuk saya. Saya melihat ini secara serius. Beri saya sedikit masa (untuk membuat keputusan) dan (ia) tidak mengambil masa lama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Loading...
Share This