Isnin, 29 Jun 2020

Bot karam, empat pemancing diselamatkan terkandas atas bagang di Pitas

Maritim Malaysia selamatkan empat pemancing di perairan Pitas, selepas bot dinaiki mereka karam.- Foto NSTP/ Juwan Riduan
KUDAT: Empat pemancing diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pitas, di sini, Sabtu lalu, selepas bot dinaiki mereka karam.

Semua mangsa iaitu Moksin Asing, 52, Muslimin Adau, 52, Mohd Rafi Mohd Rasit, 46, dan Julmat Mamat 43, yang keluar melakukan aktiviti memancing dikatakan terkandas selepas bot dinaiki mereka karam.

Pengarah Maritim Malaysia Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau, berkata Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 pagi daripada ahli keluarga salah seorang pemancing.

Katanya, pemanggil memaklumkan bapa saudaranya bersama tiga mangsa lain terkandas di sebuah bagang di perairan Pitas apabila bot yang dinaiki karam akibat ombak kuat dan bergelora.

"Bot peronda Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan rondaan rutin segera diatur gerak ke tempat kejadian selepas laporan diterima.

"Angin kencang dan laut bergelora pada mulanya menyebabkan sedikit kesukaran untuk mengesan lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Boon berkata, mangsa yang terkandas berjaya ditemui pada kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Pulau Gusung Malanta, Pitas.

Katanya, semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan seterusnya didaratkan di Jeti Dataran Bengkoka, Pitas.

Loading...
Share This