Jumaat, 5 Jun 2020

Banci Penduduk dan Perumahan 2020 mula 7 Julai ini

BANCI Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 Julai ini hingga 30 September dan 7 Oktober hingga 24 Oktober, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir memaklumkan bahawa melalui fasa pertama yang bermula 7 Julai, kaedah pengumpulan data akan dijalankan secara dalam talian manakala fasa kedua bermula 7 Oktober, data dikumpul secara bersemuka.

"Pelaksanaan Banci 2020 yang dirancang pada awalnya akan diadakan pada 7 Julai sehingga 20 Julai bagi operasi di lapangan dan untuk e-Census dan Temu Ramah Melalui Telefon dengan Bantuan Komputer (CATI) pada 20 Jun hingga 9 Julai.

"Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi kesan ke atas kaedah pelaksanaan Banci 2020. Namun persediaan Banci 2020 diteruskan dan disesuaikan melalui bekerja dari rumah dan penyesuaian jadual kerja," katanya dalam kenyataan sempena Program 33 Hari Menuju Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Berhubung persediaan DOSM, beliau berkata DOSM bersedia melaksanakan Banci 2020 dengan penyesuaian kaedah Banci 2020 dengan memanfaatkan teknologi dalam pengumpulan data.

"Sistem Online Self-Listing (OSL), e-Census, Computer Assisted Personal Interview (CAPI) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) akan digunakan. Penggunaan Intelligent Character Recognition (ICR) turut dipertimbangkan bagi memastikan pemprosesan data cepat dan berkesan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Statistics Data Warehouse (StatsDW) juga dibangunkan sebagai usaha memperkukuh sistem tadbir urus statistik mencakupi aspek sebaran, pengarkiban, capaian data mikro dan data agregat yang boleh dimanfaatkan ketika Banci 2020.

Katanya, pelaksanaan Banci 2020 adalah projek nasional berimpak tinggi dan berskala besar melibatkan di seluruh Malaysia iaitu 32.6 juta penduduk di 9 juta kediaman dengan 8.2 juta isi rumah merangkumi 160 daerah pentadbiran serta 99,356 blok penghitungan.

Mohd Uzir berkata, 11,667 tenaga kerja digunakan bagi menjayakan Banci 2020 yang terdiri daripada 1,381 Pegawai Banci, 14,581 Penyelia, 99,356 Pembanci dan 349 Ahli Jawatankuasa.

Loading...
Share This