Sabtu, 20 Jun 2020

Ahli perniagaan maut, Mercedes terjunam ke laut di Tanjung Lipat

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa dari keretanya. FOTO Juwan Riduan
AHLI perniagaan maut selepas kereta jenis Mercedes dipandunya terbabit kemalangan sebelum terjunam ke dalam laut di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran bangunan SICC, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 1.25 pagi itu, mangsa, Alan Ng Kay Lun, 41, yang dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat dari kereta disahkan meninggal dunia oleh doktor Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), sejam kemudian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan selepas melanggar belakang sebuah Perodua Bezza dinaiki tiga individu.

Beliau berkata, ketika Perodua Bezza melalui selekoh, pemandu ternampak kereta mangsa dari arah belakang dipercayai dalam keadaan laju.

"Apabila pemandu Perodua Bezza melihat Mercedes dalam keadaan laju, dia bertindak mengalihkan keretanya ke kiri bahu jalan untuk mengelak. Namun disebabkan kereta mangsa dipandu sangat laju menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian belakang Perodua Bezza," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas perlanggaran berlaku, Mercedes dipandu mangsa terbabas memasuki kawasan lapang di kiri jalan lalu melanggar pokok kelapa sebelum terjunam ke laut.

"Akibat daripada itu, mangsa disyaki lemas sebelum keluarkan oleh pasukan bomba.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.20 pagi manakala pemandu dan dua penumpang Perodua Bezza tidak mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Share This