Selasa, 9 Jun 2020

Ahli Parlimen WARISAN dijangka keluar parti

SEKURANG-KURANGNYA empat Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) dikatakan akan bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

Sumber berkata, mereka termasuk seorang wanita itu sudah membuat keputusan berkenaan susulan kedudukan politik negeri yang dilihat tidak stabil.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu sudah dibuat selepas pembentukan kerajaan PN Mac lalu, namun tindakan itu ditangguh kerana penularan wabak Covid-19.

Ada perbincangan bersama enam orang Ahli Parlimen dari WARISAN yang pada awalnya bersetuju untuk bersama-sama PN sebagai kerajaan.

Namun yang terbaru, hanya empat yang bersetuju dan mereka ini sedang mengikuti perkembangan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sedang bermasalah.

Penyertaan mereka akan mengukuhkan PN selepas Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berbuat demikian minggu lalu," katanya kepada Harian Metro.

Perkembangan itu menjadikan senario politik negara semakin panas sejak beberapa minggu ini selepas wujud desas desus kerajaan negeri Sabah bakal tumbang selepas Johor, Perak dan Kedah sebelum ini.

WARISAN mempunyai sembilan wakil di Parlimen ketika ini termasuk Mohd Shafie (Semporna), Ahmad Hassan (Papar), Ma'mun Sulaiman (Kalabakan), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Darell Leiking (Penampang), Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan ahli parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli. - Harian Metro

Loading...
Share This