Khamis, 4 Jun 2020

30 rumah hangus di Kampung Sri Aman Semporna

SEMPORNA: Lebih 100 orang penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas 30 rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Aman, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.33 pagi tadi.

“Selepas menerima panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, beberapa buah rumah musnah sepenuhnya, manakala api sedang merebak ke rumah lain di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, pihak bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk memastikan api terkawal dan kawasan itu selamat sepenuhnya.

“Dianggarkan sebanyak 30 buah rumah jenis separa kekal iaitu diperbuat daripada kayu musnah sepenuhnya dalam kejadian itu membabitkan keluasan 0.6 hektar.

“Tindakan pantas JBPM dengan bantuan penduduk setempat berjaya menyelamatkan lebih 190 buah rumah lain daripada terbakar,” katanya.

Tambah Fazizul, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku.

“Sehingga kini, kami masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa ekoran kebakaran tersebut,” katanya.

Loading...
Share This