Rabu, 27 Mei 2020

‘Unduk Ngadau dalam talian tidak relevan’ - Mantan Unduk Ngadau

SYLVIA
KOTA KINABALU: Seorang penyandang gelaran Unduk Ngadau Kaamatan terdahulu turut mengkritik pertandingan Unduk Ngadau Negeri 2020 yang diumumkan baru-baru ini.

Sylvia Orow (gambar), yang memenangi mahkota itu pada 1991, berkata pertandingan dalam talian itu “sangat tidak perlu dan tidak relevan.”

“Secara peribadi, saya tidak menyokong pertandingan Unduk Ngadau dalam talian yang diumumkan baru-baru ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Selasa.

“Walaupun inisiatif itu dilihat sebagai langkah ke hadapan atau maju dengan teknologi, saya, bagaimanapun, sangat tidak bersetuju dan membantah pelaksanaan pertandingan dengan pemberitahuan singkat itu.

“Mengumumkan rancangan untuk pertandingan Unduk Ngadau dalam talian pada saat akhir menjadikan ianya kelihatan seperti tidak ada penyelarasan serta perancangan yang teratur dan rapi.

“Kenapa perlu merisikokan serta menjatuhkan integriti dan kesucian Unduk Ngadau sedangkan tiada pun permintaan untuk pertandingan dalam talian ini diadakan?”

Sementara beliau memuji hasrat dan inisiatif baik untuk meneruskan tradisi itu, beliau bagaimanapun berkata di tengah-tengah pandemik Covid-19, itu dilihat tidak wajar dan harus ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Saya fikir kita mesti menilai dan memberi keutamaan dengan lebih baik.

“Daripada menawarkan hadiah-hadiah lumayan untuk sebuah pertandingan dalam talian yang nampaknya berdasarkan dorongan saat akhir, marilah kita definisikan keutamaan kita dengan betul dengan melakukan sesuatu yang bermakna.

“Marilah kita membantu rakyat yang terjejas oleh pandemik ini, khususnya mereka yang kehilangan sumber pendapatan dan menyalurkan wang hadiah itu untuk tujuan lebih baik seperti membantu mereka yang memerlukan, menyokong barisan hadapan atau ke arah pemuliharaan tradisi dan budaya kita.

“Itulah semangat sebenar Huminodun,” katanya.

Sylvia ketika ini tinggal dan bekerja di New York, AS, dan sebelum ini pernah mengadili beberapa edisi pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah dan Negeri.

Isnin lepas, dilaporkan bahawa ahli seumur hidup Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Johnny Mositun, menggambarkan keputusan jawatankuasa penganjur Kaamatan Kerajaan Negeri untuk meneruskan final pertandingan itu di Hongkod Koisaan sebagai “melulu dan tidak bertimbang rasa.”

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau gagal untuk melihat rasional di sebalik desakan jawatankuasa diketuai Datuk Peter Anthony untuk menganjurkan acara itu melihat kepada kebimbangan semasa berhubung Covid-19.

Terdahulu, Peter mengumumkan bahawa pertandingan Unduk Ngadau akan diadakan tahun ini dengan mempelawa peserta menghantar video penyertaan mereka untuk diletakkan di laman Facebook untuk undian awam dan tujuh peserta teratas akan dipilih pada 29 Mei.

Tujuh peserta teratas, katanya, akan ke pentas akhir di Hongkod Koisaan KDCA, dekat sini, pada 31 Mei.

Tahun ini, pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000 untuk pemenang-pemenang teratas dan sesetengah peserta, yang memenangi gelaran, akan membawa pulang RM18,000.

Sementara itu, petisyen dalam talian yang membantah penganjuran acara tahunan itu meraih sekitar 7,000 tandatangan, ketika laporan ini ditulis. Petisyen itu dibuat oleh netizen prihatin tidak lama selepas acara itu diumumkan. - Harian Sabah Express

Loading...
Share This