Selasa, 12 Mei 2020

Tiada solat Aidilfitri di Sabah, aktiviti masjid ditangguh hingga 26 Mei - Mufti

KOTA KINABALU, 12 Mei -- Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan tiada solat sunat Aidiltifri di masjid atau surau seluruh negeri pada tahun ini, berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata keputusan itu selaras dengan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid dan surau di Sabah yang dilanjutkan hingga 26 Mei.

Beliau berkata Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan perkara berkenaan selepas mengambil kira asas-asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam di negeri itu, selain tempoh pelanjutan tertakluk kepada nasihat kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ahli Qaryah disunatkan menunaikan solat Hari Raya di rumah atau kediaman masing-masing. Kenyataan mengenai garis panduan Hari Raya akan dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam waktu terdekat.

“Selain itu, ahli Qaryah juga wajib menunaikan solat fardu Zuhur pada hari Jumaat dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Bungsu berkata umat Islam Sabah diminta merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu “Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya” dan garis panduan lain dikeluarkan oleh pihak berwajib.

“Saya berharap umat Islam Sabah dapat melaksanakan ibadah puasa dan amal ibadah lain dalam bulan Ramadan tahun ini dengan sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA

Loading...
Share This