Khamis, 7 Mei 2020

Stok beras Sabah cukup untuk lima bulan jika Covid-19 berlarutan

BELURAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberi jaminan bekalan makanan terutama beras di negeri ini masih cukup untuk tempoh lima bulan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan dan beras tidak dapat diimport dari negara-negara pengeluar.

Ketua Menteri berkata, jika keadaan berlarutan, stok beras yang di simpan oleh Sabaras, sebuah agensi di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) cukup dan boleh diagihkan kepada rakyat tanpa perlu bergantung kepada agensi lain.

“Setakat ini dalam jangka masa lima bulan beras kita mencukupi, bekalan bukan hanya daripada saya difahamkan bukan sahaja daripada Bernas malah pengendali kita Sabaras satu agensi di bawah SLDB kita sudah simpan di situ berapa tan juga beras kalau sekiranya keadaan di kampung-kampung tidak mencukupi kita akan agihkan.

“Kita akan agihkan kita tidak bergantung agensi-agensi lain, SLDB boleh mengagihkan, sekarang ini pun sebahagian daripada itu kita telah gunakan untuk memberikan bekalan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) seluruh Sabah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, Thailand dan Vietnam yang merupakan negara pengeksport beras ke Malaysia telah menghentikan sementara waktu dagangan bahan makanan berkenaan.

Mohd. Shafie berkata, situasi yang berlaku ketika ini memberi pengajaran kepada kerajaan untuk memastikan Sabah sentiasa mempunyai bekalan makanan yang cukup termasuk beras jika senario jangkitan wabak sekarang berulang pada masa depan.

Katanya, Sabah perlu meningkatkan hasil pertanian negeri termasuk penanaman padi kerana ketika ini, sektor berkenaan hanya mampu menampung kira-kira 25 peratus keperluan negeri manakala selebihnya terpaksa diimport.

“Sekarang isu Covid-19 sehingga semua tidak boleh bergerak, import pun susah eksport pun susah kalau tiada import dari Thailand dan Vietnam, beras dari mana kita mahu ambil beras kita, orang tanam ubi kayu jadi terpaksa kita lakukan persediaan.

“Ini untuk masa depan kita, saya yakin perkara ini mungkin dalam 20 tahun, 30 tahun akan datang akan ada lagi jenis penyakit yang datang ke dunia waktu itu kita tidak ada kesiapsiagaan kita jadi perlu untuk kita ada kesiapsiagaan,” katanya.

Loading...
Share This