Jumaat, 15 Mei 2020

SESB jelaskan kenapa bil elektrik tinggi

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjelaskan bahawa kenaikan bil elektrik melipat ganda yang dialami oleh pengguna pada masa kini adalah disebabkan oleh pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir.Norhizami Abu Hasan berkata faktor utama kepada kenaikan bil elektrik adalah penggunaan tenaga yang bertambah disebabkan PKP di mana, rakyat dikehendaki untuk duduk diam dalam rumah untuk memutuskan rantai penularan COVID-19.

Beliau menjelaskan bahawa purata pertambahan penggunaan tenaga untuk setiap pengguna sepanjang tempoh PKP ini adalah antara 30% ke 70% disebabkan penggunaan peralatan elektrik dan aktiviti di rumah.

“Pengguna harus maklum bahawa sepanjang PKP ini mereka duduk di rumah dan penggunaan tenaga akan bertambah kerana aktiviti sepanjang masa yang menggunakan alat-alat pepasangan elektrik seperti memasak, penggunaan pendingin hawa, televisyen dan komputer berbanding sebelum arahan PKP berkuatkuasa yang mana penggunaan tenaga di rumah adalah pada tahap yang minima kerana majoriti pengguna keluar rumah untuk bekerja dan anak-anak bersekolah,” katanya.

Justeru, Norhizami berkata pengguna perlu bijak untuk memastikan penggunaan tenaga di rumah sepanjang masa PKP ini adalah berhemah dengan mengamalkan cekap tenaga.


Menurut beliau, memandangkan tiada bacaan meter elektrik dan bil bercetak dikeluarkan sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 18 Mac, 2020, justeru bil bulanan dikira berdasarkan anggaran penggunaan bil bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, bil akan diselaraskan semula selepas anggota kerja SESB membuat bacaan sebenar di kediaman pengguna yang bermula pada 17 April, 2020.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian diskaun elektrik sepertimana yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan hanya berkuatkuasa pada 1 April, 2020 dan bacaan bil elektrik pada bulan Februari dan Mac tidak akan dikenakan diskaun.

“Walaubagaimanpun pengguna dengan bil bulanan (untuk bulan April) melebihi jumlah RM500 hanya akan menikmati diskaun sebanyak 2%,” Norhizami berkata.

Ini bermakna bagi bil elektrik yang diterima dalam bulan April dan meliputi penggunaan elektrik untuk bulan Mac 2020 dan April 2020, diskaun akan dikira secara prorata berdasarkan penggunaan dalam bulan April 2020.

Norhizami berkata, SESB telah pun membuka Kaunter Perkhidmatan Pengguna bermula pada 11 Mei, 2020 di semua pejabat SESB seluruh Negeri Sabah dan W.P. Labuan, justeru itu beliau menasihati pengguna untuk berkunjung ke pejabat SESB sekiranya menghadapi masalah berkaitan perkhidmatan SESB.

Pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai pemberian diskaun bil elektrik boleh  menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222313, 223313 dan 224313 atau melalui aplikasi whatsapp 019- 852 5427.

Selain itu pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan melalui e-mel komersial@sesb.com.my Norhizami berkata bilik gerakan ini akan beroperasi pada waktu bekerja iaitu bermula pada jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Manakala itu, pengguna boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 selepas waktu pejabat.

Loading...
Share This