Isnin, 4 Mei 2020

Sarawak benarkan empat orang dalam satu kenderaan

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan arahan terbaharu kerajaan persekutuan untuk membenarkan empat orang dari rumah dan keluarga yang sama dalam satu kenderaan, berkuat kuasa serta merta. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) dalam kenyataannya hari ini berkata Sarawak akan mematuhi arahan baharu itu memandangkan ia telah diwartakan undang-undang.

"Ini keputusan kerajaan negeri memandangkan arahan ini telah diwartakan sebagai undang-undang, Sarawak akan mematuhinya.

"Maknanya, kita sekarang membenarkan empat orang dalam satu kenderaan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS).

Pada Ahad, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat penumpang dengan syarat, mestilah daripada keluarga dan rumah yang sama susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei 2020.


Ismail berkata isu penjarakan sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga yang tinggal serumah, justeru tiada masalah untuk mereka menaiki kenderaan persendirian bersama. - Utusan Borneo

Loading...
Share This