Isnin, 11 Mei 2020

PKPB: Bas ekspres di Sabah beroperasi mulai esok

KOTA KINABALU, 11 Mei -- Bas ekspres di Sabah akan beroperasi semula mulai esok sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan penumpang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah Datuk Donald Hanapi berkata antara SOP ditetapkan termasuk mewajibkan semua penumpang mengisi borang deklarasi COVID-19, memakai penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial dan memeriksa suhu badan sebelum menaiki bas.

Beliau berkata penumpang yang tidak memberi kerjasama dalam mematuhi SOP itu tidak akan dibenarkan menaiki bas walaupun telah membeli tiket.

"Lebih 20 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 bas bersedia bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi. Hanya separuh daripada kapasiti tempat duduk dibenarkan sebagai langkah penjarakan sosial. Pengusaha bas juga wajib melakukan disinfeksi bas masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya tiket bas ekspres boleh dibeli secara dalam talian di aplikasi Easy Book atau di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

“Penumpang turut diingatkan untuk bersedia sepenuhnya sebelum menaiki bas termasuk menunaikan solat kerana pemandu bas ekspres tidak akan berhenti di perhentian seperti kebiasaan”, katanya.

-- BERNAMA

Loading...
Share This