Jumaat, 15 Mei 2020

Pengedar dadah maut ditembak polis di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang tokan dadah warga asing maut ditembak selepas didakwa menyerang anggota polis, di sebuah ladang kelapa sawit, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Tas @ Tans, 30, maut terkena beberapa das tembakan selepas tindakannya melibas parangnya ke arah anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek adalah penjenayah yang dikehendaki pihaknya kerana dipercayai menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki menggunakan senjata tajam pada 5 Mei lalu.

“Terdahulu, sepasukan anggota polis melakukan rondaan rutin di kawasan berkenaan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang dinaiki suspek.

“Suspek kemudian bertindak terjun daripada motosikalnya dan melarikan diri ke arah ladang sawit berhampiran,” katanya kepada media, hari ini.

Polis kemudian cuba mengejar suspek sebelum lelaki itu berpaling ke arah belakang secara tiba-tiba sambil melibas-libaskan parangnya.

Tambah Nasri, bimbang dicederakan, anggota polis kemudian bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai dada mangsa sebelum dia rebah.

“Akibat tembakan itu, suspek mati di lokasi kejadian.

“Polis turut menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 13.6 gram pada milikan mangsa,” katanya.


Mangsa yang ditetak 5 Mei lalu.
Dalam masa sama, polis merampas sebilah parang yang digunakan suspek ketika menyerang mangsa berukuran 56 sentimeter.

Tambah Nasri, sebelum kejadian tersebut, polis terlebih dahulu menahan isteri suspek berumur 17 tahun, pada pukul 8.45 malam, hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Share This