Sabtu, 2 Mei 2020

Pelajar Sabah dari luar negeri jalani kuarantin di rumah - Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 2 Mei -- Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Sabah, yang menuntut di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, termasuk penuntut di bawah tajaan biasiswa Yayasan Sabah yang pulang ke negeri ini, dikecualikan daripada dikuarantin di pusat yang disediakan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata, semua penuntut berkenaan perlu menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 14 hari.

"Ibu bapa atau penjaga hendaklah bertanggungjawab mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata hanya pelajar-pelajar dari zon merah atau yang bergejala, akan ditempatkan di pusat kuarantin untuk tempoh dua minggu.

Beliau berkata ia tertakluk kepada penilaian dan cadangan oleh JKNS semasa ketibaan pelajar.

Pada 27 April lepas, semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti, yang masih berada di kampus ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.

-- BERNAMA

Loading...
Share This