Sabtu, 9 Mei 2020

Lagi pemandu rempuh SJR di Kota Kinabalu

PAPAN tanda rosak akibat dirempuh kereta Ford Ranger di SJR jalan Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
POLIS Kota Kinabalu sedang mengesan kenderaan pacuan empat jenis Ford Ranger yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19, di Jalan Kolombong, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Rempuhan jam 8 malam itu menyebabkan kerosakan pada papan tanda (Essential Services), kon dan lampu yang diletakkan polis di SJR berkenaan.

Bagaimanapun, petugas terdiri dua anggota polis, tiga tentera dan dua Rela tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian semua petugas SJR Op Covid-19 baharu selesai berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang giat mengesan kenderaan berkenaan.

"Ketika kejadian, kenderaan jenis Ford Ranger berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran KM95 bergerak dari Jalan Tuaran Bypass menghala ke Jalan Lintas.

"Pemandu itu dipercayai memandu laju melepasi SJR lalu merempuh papan Essential Services, kon dan lampu sebelum melarikan diri," katanya.

Habibi berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha untuk mengesan suspek giat dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.

Pada jam 9.35 malam, 3 April lalu, kejadian sama berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Ford Ranger merempuh SJR di lokasi sama dan terus melarikan diri.

Suspek lelaki berusia 28 tahun bagaimanapun berjaya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 5 April lalu.

Loading...
Share This