Ahad, 3 Mei 2020

Kedai perabot, kenderaan musnah terbakar di Donggongon

TERBAKAR: Bomba berada di lokasi kejadian berusaha memadamkan kebakaran
PENAMPANG: Sebuah kedai perabot di Jalan Penampang-Tambunan, Donggongon di sini, musnah dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang tadi (Ahad).

Utusan Borneo yang berada di tempat kejadian mendapati premis yang dikenali sebagai Homemart Furniture itu terjejas teruk, malah, sebuah kenderaan sedan turut terbakar.

Mujur, bomba berjaya memadam dan mengawal kebakaran daripada terus merebak ke premis-premis berhampiran yang dipercayai melibatkan lebih 20 kediaman penduduk.

Ketua Balai Bomba Penampang Zainal @ John Radsung berkata seramai 13 anggota dan pegawai diketuai PBK II Callixtus Fedilix digerakkan bersama empat jentera dan utiliti.

“Bantuan memadam dan mengawal kebakaran turut diterima dari Balai Bomba Kota Kinabalu yang menghantar seramai 12 pegawai dan anggota serta dua jentera dan utiliti.

“Panggilan kecemasan diterima pada jam 5.07 petang, sebelum bergegas ke lokasi dan berhasil mengawal api daripada terus merebak ke rumah-rumah berhampiran,” katanya. - Utusan Borneo

Loading...
Share This