Rabu, 27 Mei 2020

Harga emas pukal dijangka melonjak RM278.98 segram

KUALA LUMPUR: Harga emas pukal dijangka melonjak ke paras RM278.98 segram atau AS$1,820 seauns (RM7,908.83) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Perbendaharaan Ace Innovate Asia Bhd, Liew Kim Fung, berkata lonjakan harga emas bakal dipacu 'pertelagahan' antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mula memuncak dalam pelbagai isu ketika ini yang mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran bukan emas.

Katanya, berdasarkan situasi semasa, harga emas akan kekal pada tahap tinggi kepada AS$1,780 seauns (RM7,735) atau RM272.84 segram.

"Selepas ia melepasi paras AS$1,780 seauns, kita akan melihat tahap seterusnya adalah AS$1,820 seauns.

"Harga emas yang tinggi akan berterusan memandangkan krisis AS-China tidak akan berakhir dengan cepat dan cabaran berterusan ini akan menjadi halangan kepada dua ekonomi terbesar dunia.

"Isu (krisis AS-China) akan sentiasa berlaku dan akan menjadi sokongan kukuh kepada permintaan emas. Saya jangkakan harga emas kekal tinggi sehingga tempoh akhir tahun dengan pilihan raya presiden AS juga dijadualkan berlangsung November. Dalam tempoh ini, wujudnya ketidaktentuan yang memberi manfaat kepada emas," katanya ketika dihubungi BH di sini, baru-baru ini.

Pada pertengahan bulan ini, harga emas melonjak ke paras tertinggi sejak AS$1,759.98 (RM7,648.01) sebelum kekal pada AS$1,756.79 (RM7,634.15) seauns.

Harga aset selamat yang tinggi itu disokong kebimbangan yang dicetuskan daripada hubungan tegang AS-China selain data ekonomi AS yang kurang memberangsangkan.

Mengulas lanjut, Kim Fung berkata harga emas yang kekal tinggi sejak akhir-akhir ini bagaimanapun dihadkan oleh langkah peniaga mengunci harga untuk aktiviti mengambil untung sebelum menyusut sedikit.

Katanya, corak kenyataan yang dilontarkan Presiden AS, Donald Trump yang tiada ketetapan mendorong kebimbangan pasaran sekali gus melonjak harga emas melepasi AS$1,800 (RM7,821.92) seauns.

"Krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19, perjanjian perdagangan AS-China, pilihan raya presiden AS, isu Huawei dan terbaharu Apple akan menjadi faktor utama yang akan berterusan sehingga akhir tahun yang mana menyumbang kepada harga emas pada paras tertinggi sejak 12 Oktober 2012.

"Isu terbesar adalah langkah Rizab Persekutuan (Fed) dalam mengurangkan kadar faedah kepada paras negatif dan secara terus menerus untuk meningkatkan pelonggaran dasar kuantitatif. Kembali pada tahun 2010 - 2012, semasa krisis perbankan, Fed telah memperkenalkan pelonggaran dasar kuantitatif dan ini telah mendorong harga emas ke paras tertinggi pada AS$1,920 (RM8,343.38) seauns pada 2011," katanya.

Beliau menjelaskan, peningkatan harga emas boleh dihadkan dan penyusutan juga boleh berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila jangkaan terhadap penemuan vaksin COVID-19 berlegar yang mana memberi kesan kepada minat belian komoditi berharga itu.

"Bayangkan jika vaksin ditemui dalam tempoh beberapa hari akan datang, kita pasti dapat melihat penjualan besar-besaran dari pasaran tetapi untuk jangka panjang emas sebenarnya masih disokong dengan baik oleh langkah Fed.

"Emas cenderung mendapat keuntungan daripada rangsangan yang meluas dari bank pusat kerana secara meluas dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan penurunan nilai mata wang," katanya.

Loading...
Share This