Sabtu, 16 Mei 2020

Covid-19: Sabah catat satu kes baharu, satu kematian hari ini

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kes baharu Covid-19 dan satu kematian hari ini membabitkan Kakitangan Kementerian Kesihatan berusia 53 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, wanita tersebut mempunyai latar belakang penyakit barah serta darah tinggi.

“Beliau adalah seorang kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah, namun telah bercuti sakit disebabkan barah.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei lalu disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot sebelum didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei, pukul 1.30 petang,”katanya.

Sementara itu, kes jangkitan terbaharu ialah di daerah Kota Kinabalu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 331 kes.

Di seluruh negara pula, sebanyak 17 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 6,872 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,247 kes.

Selain itu, sebanyak 73 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad ialah 5,512 orang.

Manakala sebanyak 13 kes dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)  termasuk lima kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.


Loading...
Share This