Selasa, 5 Mei 2020

Covid-19: 30 kes baru, 1 kematian hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 1 korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 106 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 30 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah mangsa 6,383 orang sehingga kini.

“Daripada 30 kes baru yang dilaporkan hari ini, tiada kes import. Kes penularan tempatan sebanyak 30 kes, di mana sebanyak 21 kes dikesan dari kluster dan lokaliti bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, seramai 83 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan bilangan kes sembuh 4,567 sehingga kini.

Sementara itu. seramai 24 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah itu 8 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sehingga kini seramai 1,710 pesakit masih dirawat.

Mengenai kes kematian yang dilaporkan hari ini, Hisham berkata mangsa ke-106 itu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

Dia dimasukkan ke hospital swasta mulai 15 Mac dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Mac selepas disahkan positif Covid-19.

Dia disahkan meninggal dunia pada 5 Mei 2.10 pagi.

Kluster Pasar Borong KL

Sementara itu, Hisham memaklumkan sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 180 jumlah kes positif Covid-19 melibatkan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dilaporkan.

Daripada jumlah tersebut, 100 kes dikesan dalam kawasan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan, dan 80 kes lagi dikesan di luar kawasan itu.

Daripada kes yang dikesan di luar kawasan itu, 29 kes dikesan melalui saringan di 4 pasar awam, iaitu 3 kes di Pasar Besar Seremban, 2 kes di Pasar Besar Bahau, 23 kes di Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya, dan 1 kes di Pasar Taman Megah di Petaling Jaya.

Menurut Hisham, kluster Pasar Borong KL didapati berkaitan dengan kluster perhimpunan Sri Petaling, di mana kes indeks bagi kluster itu, iaitu kes ke-3039, adalah salah seorang peserta.

“Kementerian Kesihatan dengan bantuan agensi-agensi berkaitan mengenalpasti beberapa pasar harian yang berkaitan atau mempunyai peniaga yang banyak berurusan dengan Pasar Borong KL.

“Pejabat kesihatan daerah dimaklumkan untuk menjalankan penilaian risiko jangkitan Covid-19 ke atas para peniaga yang telah ke pasar-pasar tersebut,” katanya.

Loading...
Share This