Selasa, 12 Mei 2020

Covid-19: 10 kes baharu melibatkan rakyat Sabah pulang dari semenanjung

KOTA KINABALU: Sepuluh kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan rakyat Sabah termasuk dua pelajar yang pulang dari Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Daripada 10 kes baharu itu, empat adalah di Lahad Datu, tiga di Semporna, dua di Keningau dan satu di Tawau.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 327 pada 11 Mei.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata daripada 10 kes baharu itu dua adalah pelajar, seorang kanak-kanak dan selebihnya mereka yang bekerja di semenanjung.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan jam 12 tengah malam tadi, Dr Christina berkata kesemua kes baharu juga dikategorikan sebagai kes import yakni jangkitan Covid-19 di luar negeri Sabah.

Tujuh sampel yang positif di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau manakala tiga lagi di lapangan terbang Sandakan.

Menurut beliau sampel diambil di destinasi ketibaan terakhir.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kes telah diberi Borang Annex 14 untuk menjalani Home Quarantine namun sebahagian besar telah mengingkari perintah ini.

“Ini menyebabkan bilangan kontak terdekat yang perlu disiasat bertambah,” katanya.

Peningkatan kes mendadak ini telah mengundang pelbagai komen di media sosial.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak menularkan butiran peribadi kes-kes kerana ini adalah budaya tidak sihat serta menimbulkan stigma terhadap pesakit Covid-19,” katanya.

Pihak JKNS turut mengajak rakyat Sabah untuk belajar dan mengambil ikhtibar daripada kejadian peningkatan kes mendadak tentang pentingnya untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

“Dalam menangani wabak ini, mungkin terdapat pendekatan yang tidak popular kerana kelihatan ‘menyusahkan’ pelbagai pihak.

“Namun strategi sedemikian perlu dilihat dari sudut kebaikan untuk semua,” katanya.

Dr Christina turut menegaskan bahawa Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan ke Sabah perlu diisi dengan lengkap dan jujur.

Tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya didapati maklumat yang diberikan salah atau tidak lengkap, katanya.

Turut ditegaskan betapa penting bagi semua untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak JKNS seperti perintah menjalani Home Quarantine dengan ketat, katanya.

Mereka yang didapati ingkar akan diperintahkan menjalani kuarantin di pusat-pusat kuarantin yang diwartakan, katanya.-SabahNewsToday

Loading...
Share This