Selasa, 19 Mei 2020

Beberapa pusat bandar di Sabah lengang menjelang Aidilfitri

KOTA KINABALU, 18 Mei -- Hanya tinggal seminggu sebelum sambutan Aidilfitri dan kebiasaannya beberapa pusat bandar di negeri ini pasti sesak dengan pengunjung yang ingin membeli barang keperluan hari raya.

Namun berbeza pada tahun ini apabila kawasan yang sering menjadi tumpuan pengunjung lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Di Kota Kinabalu, tinjauan Bernama mendapati kawasan Segama dan Sinsuran yang kebiasaannya dibanjiri ribuan pengunjung dari luar daerah Kota Kinabalu, kini sepi.

Hanya kedengaran lagu Hari Raya berkumandang di beberapa premis perniagaan yang beroperasi di kawasan itu. 

Seorang pembantu kedai yang hanya ingin dikenali sebagai Aini Rhamat, 25, berkata kebiasaannya, seminggu menjelang raya, dia bersama tiga rakannya tidak menang tangan melayan pelanggan yang mahu membeli baju raya.

Katanya tahun ini kedatangan pelanggan khususnya ke kawasan itu amat berkurangan selain pelanggan juga tidak dibenarkan untuk mencuba pakaian yang dijual di premis berkenaan.

Di Tawau, suasana malam di bandar ini yang kelazimannya cukup meriah dengan pembukaan bazar atau pasar malam raya di beberapa lokasi kini turut sunyi.

Ini berikutan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) telah mengeluarkan senarai panduan membabitkan aktiviti dilarang sepanjang tempoh PKPB berkuatkuasa termasuk larangan operasi pasar malam.

Bagaimanapun, berbeza di Sandakan, sejak PKP dilonggarkan pada 4 Mei lalu, bandar ini menjadi sibuk dengan aktiviti harian namun orang ramai masih mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bandar-bandar satelit di daerah ini menjadi tumpuan orang ramai yang berbaris sehingga luar bangunan kedai atau pasar raya sebagai mematuhi peraturan penjarakan sosial.

-- BERNAMA

Loading...
Share This