Rabu, 27 Mei 2020

Batalkan penganjuran pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan

JOHNNY
KOTA KINABALU: Keputusan jawatankuasa penganjur Pesta Kaamatan negeri untuk mengadakan pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei perlu dipertimbangkan agar dibatalkan

Ahli seumur hidup KDCA Datuk Johnny Mositun berkata, beliau gagal melihat rasional di sebalik tindakan jawatankuasa itu yang mahu mengadakan pertandingan itu walaupun rakyat masih bergelut dengan masalah COVID-19.

“Sejak pengumuman dilakukan, saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang begitu bimbang dan mereka percaya ianya membawa risiko kesihatan,” katanya.

Katanya, keputusan untuk meneruskan acara kebudayaan perlu mengambil kira pendapat masyarakat Kadazandusun dan Murut.

“Sebagai langkah mengawal penularan COVID-19, Hari Raya Aidilfitri tahun ini dirayakan dengan cara amat berlainan sehingga ibadah sembahyang di pagi raya pun ditiadakan.

“Bukan itu sahaja, penganut agama lain di negara ini turut dilarang daripada menjalankan ibadah di tempat sembahyang masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jika masyarakat dapat bertahan daripada menghadiri upacara keagamaan yang begitu penting demi mencegah penularan wabak berkenaan, saya fikir bukanlah menjadi satu masalah besar sekiranya kita terlepas pertandingan Unduk Ngadau atau Sugandoi untuk sekali ini sahaja,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menghadkan kehadiran tidak lebih daripada 50 orang dalam dewan, mungkin arahan itu boleh menyumbang kepada perkara lain yang tidak diingin.

Katanya, walaupun tidak sampai 50 orang dibenarkan berada dalam Dewan Hongkod Koisaan nanti tetapi bagaimana pula di luar dewan?.

“Adakah ahli keluarga dan para penyokong peserta akan dilarang daripada menunggu di luar dewan?” katanya.

Oleh itu, Mositun menggesa pihak penganjur membatalkan pertandingan Unduk Ngadau berkenaan dan sebaliknya menyalurkan wang hadiah berjumlah RM150,000 sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. - Utusan Borneo

Loading...
Share This