Jumaat, 29 Mei 2020

57 dikompaun kerana ingkar PKPB di Penampang

Antara individu yang dikenakan kompaun kerana ingkar PKPB di Penampang.-Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang
PENAMPANG: Seramai 57 individu dikompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan berkumpul tanpa menjaga penjarakan sosial di tiga premis di sebuah bangunan Jalan Bundusan, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 9.15 malam itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan serbuan di tiga permis dan mengeluarkan kompaun terhadap semua individu berusia 20 hingga 50 tahun kerana tidak mematuhi arahan PKPB.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata tangkapan awal membabitkan tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis.

Katanya, polis turut menahan 40 pelanggan lelaki dan 14 pelanggan wanita kerana melanggar PKPB.

“Semua individu berkenaan ditahan kerana berkumpul di premis tanpa menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter setiap seorang.

“Semua individu terbabit dibawa balik ke IPD Penampang bagi tujuan dokumentasi dan tindakan pengeluaran kompaun kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ)(No 6) 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai khususnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhimpun dan sentiasa mematuhi SOP PKPB termasuklah menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Polis Penampang sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan SOP PKPB ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seramai 23 individu dikompaun sebanyak RM23,000 selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Penampang, baru-baru ini.

“Semua yang ditahan ini sudah menerima notis kompaun manakala tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – SabahNewsToday

Loading...
Share This