Ahad, 5 April 2020

Seorang positif Covid-19 boleh jangkiti 37 individu lain

DR NOOR  HISHAM
SEORANG pesakit yang positif Covid-19 boleh menjangkiti 37 yang lain berdasarkan dapatan diperoleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan dijalankan wujud satu kluster daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali iaitu kes ke-1,580.

“Setakat ini daripada individu berkenaan, seramai 37 orang disahkan positif dan menyebabkan lima kematian dan satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Hasil siasatan, individu ini pergi melancong ke Itali dan menyebabkan kluster jangkitan sehingga generasi ketiga,” katanya dalam sidang media di KKM, Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, sebaik pulang dari melancong, individu itu dikesan menjangkiti seorang demi seorang sehingga tiga generasi dan satu keluarga.

“Ini kes pertama yang kita sudah discaj daripada wad selepas ujian seterusnya dibuat didapati negatif virus ini.

“Bagaimanapun apabila pulang ke rumah, individu itu menjangkiti satu keluarga sehingga 37 orang dan menyebabkan kematian. Ini adalah maklumat penting untuk KKM kaji dan siasat,” katanya.

Sementara itu, Noorhisham mengesahkan terdapat pertambahan jumlah kes positif virus Covid-19 membabitkan tiga lokaliti diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jumlah penduduk di Kluang keseluruhan 3,755 orang dan setakat ini sudah disaring adalah 1,634 orang manakala disahkan positif berlaku penambahan 12 kes menjadikan 147 kes positif.

“Selain itu di Hulu Klang, jumlah penduduk keseluruhan seramai 1,797 orang, disaring 1,685 orang manakala positif bertambah 14 kes menjadikan 328 orang,”katanya.

Menurutnya, di Menara Plaza City One juga berlaku pertambahan kes positif iaitu lima kes menjadikan jumlah pesakit positif 24 orang dengan jumlah saringan dilakukan 1,893 orang.

“Berdasarkan jumlah 179 kes baharu hari ini (semalam), peningkatan kes berkait dengan tiga lokasi PKPD,” katanya. - Harian Metro

Loading...
Share This