Jumaat, 17 April 2020

Sembilan ditahan melanggar PKP sekitar Kota Kinabalu

ANTARA individu yang ditahan dalam operasi pematuhan PKP di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
PADAH ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sembilan lagi individu ditahan di sekitar Kota Kinabalu dalam operasi pematuhan perintah berkenaan semalam.

Operasi berkenaan diketuai Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob bersama tujuh pegawai dan 38 anggota untuk melaksanakan perintah yang sudah memasuki fasa ketiga itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi berkenaan tertumpu di sekitar pusat bandar raya dan beberapa lokasi sekitar termasuk Salut Commercial Centre Sepanggar, pekan dan penempatan Telipok, pekan Menggatal dan Inanam.

Menurutnya, sembilan orang ditahan kerana melanggar arahan PKP iaitu berada di luar rumah tanpa alasan yang munasabah.

“Sepanjang tempoh PKP ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah menahan seramai 141 orang.

“Semua yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Polis selain Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 11 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 2020,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk proses siasatan dan pendakwaan.

“Operasi pematuhan ini yang dijalankan adalah bagi memastikan orang awam sentiasa mematuhi PKP yang dijadualkan sehingga 28 April depan,” katanya. - Harian Metro

Loading...
Share This