Selasa, 7 April 2020

Sebanyak 182,300 orang jalani saringan Covid-19 di Sabah

KOTA KINABALU: Jumlah saringan bagi mengesan jangkitan Covid-19 di Sabah sehingga kini sudah mencecah 182,300 orang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10,054 sampel telah diambil untuk mengesan kes positif Covid-19.

Untuk 5 April sahaja, 838 ujian Covid-19 dijalankan dan 18 daripadanya positif termasuk 16 sampel ulangan, dua sampel baharu.

“Sehingga 8 pagi semalam, seramai 184 pesakit Covid-19 masih dirawat dan 82 pesakit dibawah siasatan (PUI) dan 37 pesakit dengan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh Sabah. Setakat ini, bilangan kumulatif pesakit sembuh adalah seramai 52 orang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai mesej tular yang menyatakan kakitangan Hospital Keningau disahkan positif Covid-19, kes jangkitan berkenaan masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati jangkitan mungkin daripada kakitangan lain yang dijangkiti semasa menghadiri mesyuarat di luar daerah sebelum PKP berkuatkuasa.

“Justeru itu, orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan diskriminasi terhadap pesakit dan keluarga serta menyebabkan suasana panik dalam kalangan masyarakat di daerah terlibat,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini 26 Pusat Kuarantin telah dibuka dengan tambahan dua pusat baharu iaitu Rumah Anak Yatim, Kunak dan Pusat Kegiatan Kemas, Beaufort.

Christina berkata, setakat ini seramai 146 orang telah ditempatkan di Pusat Kuarantin di seluruh Sabah menjadikan kumulatif yang masih berada di Pusat Kuarantin sebanyak 787 orang dan 20 orang telah dibenarkan pulang pada hari ini.

Manakala, bilangan kumulatif individu dibawah pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian bagi menjalani kuarantin di rumah adalah seramai 10,343 orang.

Ia termasuk bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) iaitu seramai 6,286 dan bilangan yang telah tamat tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari adalah seramai 4,057 orang. - Borneo Today

Loading...
Share This