Ahad, 5 April 2020

Sabah rekod 1 lagi kes kematian COVID-19

NOOR HISHAM
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kes kematian baharu akibat COVID-19 iaitu kematian ke-61membabitkan kes ke-2,200 di seluruh negara.

Kes baharu berkenaan menjadikan jumlah terkumpul kes kematian COVID-19 di Sabah sebanyak dua kes sehingga kini.

Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes berkenaan melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Menurutnya, mangsa dilaporkan meninggal dunia jam 9.36 malam pada 4 April lepas di Hospital Keningau. Beliau sebelum ini dirawat di hospital berkenaan sejak 26 Mac 2020.

Dalam pada itu katanya, kes positif COVID-19 di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan rekod sebanyak 13 kes baharu semalam berbanding 10 kes pada 4 April 2020.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menjadikan Sabah merekodkan sebanyak 238 kes positif secara keseluruhan setakat ini.

Katanya, Sabah negeri kelima mencatat rekod tertinggi kes positif COVID-19 di seluruh negara selepas Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Sarawak

Menurutnya, sebanyak 179 kes baharu direkodkan di seluruh negara sehingga jam 12 tengah hari pada 5 April 2020 menjadikan jumlah terkumpul kes positif di Malaysia sebanyak 3,662 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 99 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 48 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Malaysia turut merekodkan empat pertambahan kes kematian baharu menjadikan jumlah terkumpul kes kematian akibat COVID-19 sebanyak 61 kes iaitu 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Bagi kes yang pulih, terdapat 90 kes dilaporkan dan dibenarkan discaj semalam menjadikan kes pulih meningkat sebanyak 1,005 kes di seluruh negara," katanya. - Utusan Borneo

Loading...
Share This