Selasa, 7 April 2020

Sabah laksana cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum sejak bulan lepas

KOTA KINABALU, 7 April  -- Kerajaan Sabah telah melaksanakan cukai jualan sebanyak lima peratus terhadap semua produk petroleum di negeri itu berkuat kuasa Mac lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pelaksanaan cukai berkenaan telah dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan ketika diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami telah kenakan sejak bulan lalu lagi. Semasa saya berbincang dengan Dr Mahathir lagi, beliau ada bertanya tentang perkara ini, ..selain membincangkan 20 peratus royalti minyak, saya beritahu dia kami juga tuntut hak Sabah terhadap hasil bumi sendiri dan beliau meminta tunggu sekejap.

“Sudah tentu ketika ini dengan COVID-19 yang dihadapi kami memerlukan lebih banyak dana, sudah tentu Petronas juga terkesan. Bila saya bercakap dengan syarikat, mereka menerimanya asalkan diberitahu awal, ini perlukan perancangan teliti bukan kita laksanakan kemudian ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita semasa melakukan tinjauan di lokasi sekatan jalan raya bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Kepayan di sini, petang ini.

Bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

Mahkamah ketika itu menolak pemohonan Petronas untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan cukai jualan Sarawak tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, mengulas tentang rayuan pengusaha sektor perladangan di pantai timur yang meminta supaya mereka dibenarkan beroperasi, Mohd Shafie berkata beliau sedar tentang aduan yang diterima namun keselamatan kesihatan rakyat adalah lebih penting.

“Kami kena perincikan secara mikro, tetapi bagi yang ada kes COVID-19 kita tidak boleh benarkan sebab saya tidak mahu membahayakan orang. Saya juga ahli ekonomi saya faham, saya tahu keadaan ekonomi, semua masyarakat, pekerja dan tauke yang memberi pekerjaan pun berdepan kesusahan.

“Tetapi masalah yang kita hadapi sekarang, COVID-19 yang perlu kita tangani, tetapi mana ada kilang-kilang saya kena perhalusi, esok ada mesyuarat Kabinet saya akan tengok saya tidak mahu cakap sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

Loading...
Share This