Sabtu, 4 April 2020

Penolong pegawai agensi kerajaan ditahan miliki syabu, pistol tiruan di K'gau

ZAINI JASS
KOTA KINABALU: Seorang penolong pegawai dalam salah satu agensi kerajaan ditahan polis selepas didapati membawa sepucuk pistol tiruan serta sejumlah syabu dalam satu pemeriksaan kenderaan di simpang jalan Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Keningau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata kejadian berlaku apabila suspek berumur 31 tahun yang menaiki kereta pacuan empat roda ditahan semasa sepasukan polis menjalankan ‘snap check’ kira-kira jam 9 malam.

“Semasa diperiksa polis menemukan sepucuk pistol tiruan menyerupai Glock17 yang disimpan di pintu kanan bahagian pemandu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit berjaya menemukan kotak rokok yang mengandungi satu paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.

Zaini berkata suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu Zaini berkata suspek dipercayai membeli senjata terbabit secara talian pada 2018 melalui sebuah laman web kelab tempatan dengan harga RM2,500 termasuk 100 biji bebola peluru.

Tambahnya suspek membeli senjata terbabit sekadar untuk latihan menembak di pejabat pada masa lapang.

Loading...
Share This