Selasa, 21 April 2020

Masalah kesihatan mental di Sabah tertinggi seluruh Malaysia

Frankie Poon
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan peratusan tertinggi di Malaysia bagi penduduk yang mengalami masalah kesihatan mental.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2015, 42.9 peratus penduduk di Sabah mempunyai masalah kesihatan mental.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, peratusan itu adalah tertinggi berbanding negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 39.8 peratus dan Kelantan dengan 39.1 peratus.

Beliau berkata, pada Setember 2019, NHMS juga sudah selesai dilaksanakan di Sabah namun, laporan berkenaan masih belum diterbitkan Institut Kesihatan Umum.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memberi kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental kepada masyarakat.

“JKNS juga telah menjalankan saringan kesihatan mental di semua klinik kesihatan di Sabah dan dalam komuniti melalui program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN).

“Malah, ceramah berkaitan kesihatan mental serta poster dan risalah berkaitan juga telah ditempatkan di klinik kesihatan dan di beberapa buah komuniti berdaftar bagi program KOSPEN,” katanya ketika jawapan lisan terhadap pertanyaan dikemukakan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

ADUN Kuala Penyu itu bertanya mengenai jumlah pesakit mental di Sabah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Mengenai kes cubaan membunuh diri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi mengumpul data berkaitan kes bunuh diri dan data terakhir yang dicatatkan dalam Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan (NSR) adalah pada 2009.

Namun, hospital di seluruh Sabah merekodkan kemasukan seramai 517 individu atas cubaan bunuh diri bagi tempoh 2012 hingga 2018.

Dengan itu, program berkaitan semasa sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia dan Hari Kesihatan Mental Sedunia dijalankan bagi menangani masalah bunuh diri dan cubaan bunuh diri di negeri ini. - Borneo Today

Loading...
Share This