Sabtu, 18 April 2020

Lelaki lari dari dikuarantin, polis minta orang ramai tampil salur maklumat

DIKEHENDAKI POLIS: Lelaki yang lari dari dikuarantin.
LAHAD DATU: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga asing yang melarikan diri dari dikuarantin di Pusat Kuarantin Residen Felda Sahabat 16, Tungku, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor, lelaki berumur 30-an itu dikenali sebagai Jul dilaporkan hilang selepas menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Felda Sahabat.

"Setelah sampel ujian diambil, lelaki itu telah diarahkan oleh Crisis Preparedness and Response Centre untuk dikuarantin namun semasa menunggu urusan kemasukan ke pusat kuarantin dia telah melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu dikatakan baharu mahu bekerja di ladang kelapa sawit dan tinggal di rumah kongsi pekerja bersama isterinya.

Katanya, setelah menerima laporan kehilangan, polis telah bertindak mengesan lelaki itu berdasarkan alamat namun gagal.


"Usaha menjejaki lelaki ini juga dilakukan di tempat kerja namun gagal dikesan.

"Selepas itu satu maklumat telah diterima mendakwa dia telah meninggalkan rumah kongsi kediaman bersama isterinya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat keberadaan lelaki tersebut diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran dengan segera atau menghubungi Inspektor Nurlin 014-5907309.

Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) yang boleh dihukum kali pertama penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kali kedua dan seterusnya hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Loading...
Share This