Khamis, 2 April 2020

Kerajaan Sabah sumbang RM500,000 bantu pelajar UMS

KOTA KINABALU: Tiada golongan yang akan terpinggir daripada menerima bantuan sama ada orang miskin, golongan B40 mahupun pelajar Institusi Pengajian Tinggi.

Bantuan yang disumbangkan kerajaan Sabah bersifat menyeluruh dalam membantu meringankan bebanan rakyat di peringkat akar bumi.

Selaras dengan itu, usaha membantu golongan pelajar diteruskan dengan penyaluran sumbangan RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk dimanfaatkan oleh 6,236 orang pelajar yang masih berada di kampus kediaman di seluruh negeri ini.

Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sumbangan ini merupakan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban UMS untuk menyediakan bantuan makanan kepada pelajar.

Katanya, sejumlah RM100,000 turut disumbangkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah kepada Tabung Dana Covid-19 UMS.

Beliau berkata, sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran dan Inovasi (KPI) prihatin tentang kebajikan pelajar-pelajar sama ada yang berada di Sabah mahupun di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.

Image may contain: 2 people, people standing

Menurutnya, dari awal lagi, kerajaan negeri menasihatkan pelajar-pelajar ini berada di kampus masing-masing. Atas sebab itu ada pelajar UMS yang terus menetap di kampus dan rumah sewa di luar kampus.

“Kita faham UMS mempunyai bilangan pelajar yang ramai iaitu mencecah 6,000 orang jadi kita ingin memastikan pelajar-pelajar yang masih berada di UMS ini dibantu tanpa mengira sama ada mereka pelajar berasal dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia mahupun pelajar luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Makanan Kepada Pelajar UMS daripada kerajaan negeri, di sini hari ini.

Selain bantuan di UMS, kerajaan negeri turut membantu pelajar di Universtiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Politeknik dan Institut Pendidikan Guru serta kolej-kolej swasta.

Yusof berkata, sejak PKP dilaksana pada 18 Mac lalu, kerajaan negeri melalui kementeriannya membantu menyelesaikan masalah pelajar yang terkandas di lapangan terbang.

Katanya, kerajaan juga menyediakan portal dan talian terus di kementeriannya dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, kita telah salurkan hampir RM200,000 untuk pelajar Sabah yang berada di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kita juga memantau sebarang masalah pelajar kes demi kes yang mana telah dilaporkan kepada kita akan cuba diselesaikan. Ini komitmen kita dan saya harap atas keprihatinan Ketua Menteri, kerajaan Sabah dan kementerian ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

“Oleh itu, saya minta pelajar bersabar dan ikut peraturan sehingga PKP tamat agar rangkaian jangkitan  Covid-19 ini dapat diputuskan,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah Datuk John Koo. - Borneo Today

Loading...
Share This