Rabu, 1 April 2020

Kedai tayar, bengkel beroperasi tiga kali seminggu

GAMBAR HIASAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan kedai tayar dan bengkel yang berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk beroperasi tiga kali seminggu sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dalam kenyataannya hari ini berkata, bagaimanapun bilangan kedai tayar dan bengkel yang akan diberikan kebenaran akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di daerah masing-masing.

“Masa operasi yang dibenarkan adalah 8 pagi hingga 2 petang pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membenarkan kedai haiwan peliharaan (Pet Shop) untuk beroperasi tiga kali seminggu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat.

“Masa operasi yang dibenarkan adalah jam 8 pagi hingga 2 petang dan bilangan yang dibenarkan akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa
Tempatan di daerah masing-masing,” katanya.

Safar turut berkata kerajaan negeri juga memutuskan untuk menutup operasi ladang sawit dan kilang Kelapa Sawit di tiga lagi daerah iaitu Kalabakan, Semporna dan Kunak berkuatkuasa hari ini hingga 14 April ini.

“Selain itu semua arahan dan larangan yang dikeluarkan oleh kerajaan Sabah sebelum ini iaitu semasa fasa pertama PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini,” tambahnya./BERITA SABAH

Loading...
Share This