Sabtu, 18 April 2020

Jangkitan baharu Covid-19 menurun lagi, 54 kes hari ini

DUA kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 88 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 54 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 5,305 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 49 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 26 menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus meningkat. Terbaru, seramai 135 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 3,102 pesakit atau 58.2 peratus telah sembuh dan discaj hospital. Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 2,115 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Berikut carta terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

1) Kes kematian ke-87 (kes ke-2,657)

• Lelaki warga Malaysia berusia 60 tahun.

• Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis.

• Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 12 April, 3.20 petang.

2) Kes kematian ke-88 (kes ke-5252)

• Lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun.

• Beliau telah dirawat di Hospital Selayang pada 17 April dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru-paru Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

• Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada 10 pagi.

Loading...
Share This