Jumaat, 17 April 2020

Ini sudah fasa 3, Polis KK Agresif tangkap ingkar PKP

Habibi Majinji
KOTA KINABALU: Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu diperketatkan sepanjang fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis tidak akan berlembut sama sekali sebaliknya siasatan ke atas pemandu kenderaan dilakukan serta-merta di lokasi SJR untuk mengetahui punca mereka keluar rumah.

Tegasnya, alasan yang tidak boleh diterima dan tanpa surat akan menyebabkan mereka ditangkap di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967.

“Pihak polis jalankan pemeriksaan ketat untuk elakkan masyarakat ambil kesempatan berjalan keluar sesuka hati.

“Jadi masuk tahap ketiga, Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu telah menjalankan tindakan agresif yang mana sebelum ini polis bagi nasihat dan beri amaran barulah jalankan tangkapan.

“Tetapi kali ini pihak polis terus siasat individu langgar PKP jika tiada alasan munasabah berada di tempat tidak sepatutnya kita tangkap,” tegas beliau.

Katanya, kelmarin sahaja, seramai 52 individu ditangkap di lokasi SJR kerana memberikan 1,001 alasan yang tidak boleh diterima.

Jelasnya, sejak PKP bermula pada 18 Mac lalu, seramai 104 individu telah ditangkap dan jumlah kelmarin adalah bukti polis tidak akan berlembut lagi.

Menurut Habibi, bermacam-macam alasan diberikan oleh orang ramai untuk keluar dari rumah termasuklah membuat penghantaran barangan yang dijual secara dalam talian, namun alasan itu tidak akan diterima.

Sementara itu, beliau memuji keseluruhan masyarakat Kota Kinabalu yang menunjukkan kadar pematuhan kepada PKP yang tinggi iaitu pada kadar 98.2 peratus.

“Sebanyak 98.2 peratus tahap pematuhan ini jika kita bandingkan dengan jumlah hampir 600,000 penduduk, maka saya akan berbangga.

“Walaubagaimanapun saya bersama pasukan akan terus buat pemantauan jika ada langgar PKP kita akan ambil tindakan tegas tidak terkecuali sesiapa pun,” tegas beliau. - Borneo Today

Loading...
Share This