Ahad, 5 April 2020

Individu muflis, senarai hitam layak mohon BPN

PEMOHON boleh melayari portal rasmi LHDN untuk memohon Bantuan Prihatin Nasional - FOTO Bernama
KERAJAAN memutuskan pemohon yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi berstatus muflis atau disenarai hitam boleh membuat permohonan secara dalam talian.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan media hari ini berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar pandangan rakyat.

Katanya, ia bagi memastikan BPN dinikmati semua penerima layak dan tiada yang tertinggal.

“Pemohon layak menerima BPN tetapi berstatus muflis atau disenarai hitam, turut boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi di www.hasil.gov.my atau pautan pantas https://bpn.hasil.gov.my/.

“Permohonan ini boleh dibuat mulai 6 April ini. Permohonan mereka akan diproses sewajarnya berdasarkan syarat kelayakan ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi permohonan yang lulus bayaran BPN akan dibuat secara tunai di Bank Simpanan Nasional.

Esok, pembayaran fasa pertama BPN akan tertumpu kepada golongan B40 berikutan kesusahan yang dialami khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu susulan penularan virus Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pembayaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 sehingga 15 April yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang. - Harian Metro

Loading...
Share This