Sabtu, 18 April 2020

HWKKS tidak ditutup

JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan berkaitan penutupan bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Kota Kinabalu, berikutan wabak Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi berkata, hanya terdapat satu wad di hospital berkenaan diletakkan di bawah kuarantin bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di HWKKS.

“Tidak ada kemasukan pesakit baru dan semua anggota yang bertugas di wad terbabit kini dikuarantin di kemudahan yang telah ditetapkan oleh JKNS.

“Bagaimanapun, perkhidmatan lain di HWKKS masih beroperasi seperti biasa.

“Orang awam tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan di HWKKS kerana pihak jabatan kesihatan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah berkaitan Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media di Kota Kinabalu.

Christina berkata, siasatan terperinci mendapati jangkitan Covid-19 di HWKKS terhad kepada golongan anggota kesihatan dan kontak terdekat seperti ahli keluarga dan kontak serumah.

Menurut beliau, orang awam dinasihati untuk tidak panik dan meminta semua pihak memberikan sokongan padu kepada usaha JKNS dalam menangani situasi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan di Hospital Keningau mendapati tiada berlaku sebarang jangkitan silang kepada pesakit hospital terbabit seperti di HWKKS berikutan semua anggota kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas. - Harian Metro

Loading...
Share This