Selasa, 21 April 2020

'Frontliners' Malaysia diiktiraf dunia

MUHYIDDIN melakukan sidang video bersama petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh. FOTO BERNAMA
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak Covid-19 sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia.

Pada satu sidang video bersama petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh, Muhyiddin menyifatkan pengiktarafan itu hasil daripada peranan yang dimainkan mereka dan kesemua barisan hadapan yang lain.

“Saya sampaikan kepada mereka yang dunia kini mengiktiraf keupayaan negara dalam menangani penularan Covid-19. Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.

“Kita adalah antara yang terbaik di dunia! Namun, saya ingatkan bahawa perjuangan belum berakhir. Masih banyak yang perlu kita lalui,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sidang video pagi ini turut disertai Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Yasmin Mohamed Gani dan tujuh anggota perubatan di pelbagai peringkat yang terlibat memerangi Covid-19 di hospital itu.

Muhyiddin berkata, situasi terkini perkembangan kes Covid-19 dalam negara yang menunjukkan trend penurunan adalah hasil peranan dimainkan petugas kesihatan serta semua anggota barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelbagai agensi lain termasuk para sukarelawan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing.

Perdana Menteri turut menyifatkan kesemua mereka sebagai wira negara yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan.

“Saya bagi pihak kerajaan telah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan mereka sehingga wabak ini mampu ditangani dengan baik.

“Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini,” tambahnya yang turut berkongsi gambar beliau memberikan tepukan sebagai simbolik menghargai pengorbanan para petugas.

Muhyiddin juga melahirkan perasaan gembira apabila mengetahui petugas barisan hadapan kini sudah mempunyai masa untuk bertemu ahli keluarga masing-masing, selain berterima kasih kepada ahli keluarga petugas yang memahami dan merestui tugasan mereka.

Petugas kini kelihatan ceria, sihat dan bersemangat untuk terus bekerja membasmi penularan Covid-19, katanya.

Pada sidang video itu, Muhyiddin turut dimaklumkan bahawa bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di hospital kini mencukupi berbanding pada peringkat awal kes Covid-19 dikesan dahulu.

Loading...
Share This