Selasa, 7 April 2020

Empat lelaki 'berkaraoke' di Penampang ketika PKP ditahan

Empat lelaki, termasuk pemilik premis, yang ditahan kerana mengingkari PKP dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Penampang. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang
PENAMPANG: Keghairahan empat lelaki, yang ‘berani’ berkaraoke tanpa mempedulikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya ‘memakan diri’ apabila mereka ditahan polis dalam kejadian di di sebuah premis karaoke di Towering, di sini, malam tadi.

Kejadian itu disedari oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika menjalankan tugas rondaan pemantauan PKP Covid-19 di kawasan berkenaan, jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata ketika anggota menjalankan tugas, terdengar bunyi bising di sebuah premis perniagaan.

“Tindakan lanjut polis membuat serbuan dan pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki berkumpul di sebuah bilik karaoke bersama muzik yang dimainkan dengan kuat.

“Semua mereka kemudian ditahan kerana didapati berkumpul di dalam premis dan ingkar kepada arahan PKP Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

“Tiga lelaki iaitu pelanggan dan seorang pemilik premis terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas beberapa set sistem karaoke serta wang tunai berjumlah RM1,337,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambah beliau lagi, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan semua tangkapan akan dituduh hari ini Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020.

“Polis Penampang menasihatkan masyarakat di daerah ini untuk mengambil ikhtibar ke atas tangkapan ini supaya mematuhi peraturan PKP selama ia berkuat kuasa,” katanya. – SabahNewsToday

Loading...
Share This