Jumaat, 3 April 2020

Dua lelaki maut tertembak ketika memburu di Keningau dan Kota Belud

Zaini (tengah) ketika sidang media di IPK Kepayan di sini hari ini. Gambar SNT/Junaidi Ladjana
KOTA KINABALU: Dua lelaki maut manakala seorang cedera selepas terkena tembakan ketika memburu dalam dua kejadian berasingan di kawasan hutan di Kota Belud dan Keningau, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata dalam kejadian pertama mangsa, 37, dan seorang rakannya keluar memburu dangan masing-masing membawa selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk di kawasan hutan Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud, kira-kira jam 2 petang Selasa lalu.

“Ketika berada di kawasan hutan itu, mangsa dan rakannya iaitu suspek menemui kesan tapak kaki rusa dan kemudian mereka berpecah berjalan ke arah berasingan.

“Sebelum berpecah, mangsa memaklumkan kepada suspek supaya menunggunya di atas bukit. Namun jam 4.20 petang, suspek yang berada di atas bukit kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah bawah lereng bukit kerana menyangka melihat rusa.

“Tidak lama selepas itu, suspek mendengar suara manusia mengerang kesakitan dan apabila dihampiri kelihatan mangsa terkena tembakan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas kejadian itu suspek kemudiannya keluar daripada tempat kejadian untuk meminta pertolongan daripada penduduk kampung dan apabila kembali ke lokasi kejadian mangsa sudah meninggal dunia.

Zaini berkata kes kedua berlaku di hutan simpan Trus Madi Sook, Keningau apabila tujuh lelaki berusia antara 33 hingga 62 tahun masuk ke hutan berkenaan pada jam 9 pagi, Rabu lalu.

“Tujuan asal mereka masuk ke dalam hutan berkenaan adalah untuk mengesan lot tanah yang dalam proses permohonan rizab membabitkan peserta dari dua perkampungan iaitu Kampung Marasak dan Kampung Sodomon dan empat orang daripada mereka membawa senapang buatan sendiri dipercayai ‘bakakuk’ untuk tujuan memburu.

“Pada jam 6 petang mangsa dan seorang lagi rakannya naik ke bukit untuk meninjau kawasan yang hendak diukur sambil membawa senjata. Tidak lama kemudian, suspek dengan membawa selaras senapang menyusul dari belakang menuju ke arah bukit yang sama.

“Ketika mangsa berusia 33 tahun dan seorang lagi rakannya berehat duduk di batang kayu mati, suspek melepaskan satu das tembakan dari arah cerun bukit kerana menyangka mangsa adalah binatang liar.

“Tembakan itu mengenai kepala mangsa terus meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi rakan mangsa berusia 50 tahun luka di paha kerana terkena kesan tembakan.

“Suspek hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan mangsa yang cedera. Suspek kemudiannya mendekati mangsa, sebelum memberitahu rakan yang lain dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau,” katanya.

Zaini berkata susulan kejadian itu, polis menahan enam lelaki berusia 36 hingga 62 tahun dan sebanyak enam laras bakakuk serta 27 butir peluru dirampas dalam kedua-dua kes berkenaan.

“Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata saranan dan nasihat sepertimana masyarakat umum ketahui, negara kini masuk ke tahap 2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Arahan amat jelas supaya masyarakat tidak keluar dari rumah kecuali perkara-perkara tertentu dan mendesak sahaja.

“Adalah menjadi satu kesalahan jika melanggar aktiviti-aktiviti haram seperti berburu menggunakan senjata api buatan sendiri hingga menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya sambil meminta masyarakat mematuhi PKP dan sentiasa berada di rumah masing-masing. – SabahNewsToday

Loading...
Share This