Ahad, 19 April 2020

Degil! Polis Sabah akan bertindak lebih tegas

ZAINI Jass pada sidang media di IPD Tawau. FOTO Rahemang Taiming
POLIS Sabah akan bertindak lebih tegas termasuk menggunakan kenderaan ‘Black Maria’ dalam memastikan rakyat lebih patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, sudah sampai masanya polis mengambil pendekatan yang lebih tegas dan serius dalam mendisiplinkan orang ramai.

Beliau menjelaskan, PKP yang sudah memasuki fasa ketiga dan masyarakat sewajarnya sudah maklum dan memahami tujuan sebenar pelaksanaannya.

“Sudah cukup masanya pihak polis memberikan nasihat dan orang ramai semua sudah tahu berkaitan arahan PKP termasuk menjaga penjarakan sosial masing-masing.

“Untuk tujuan itu, saya juga sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah, jika perlu keluarkan kenderaan Black Maria untuk lakukan tangkapan dan jika jumpa (yang ingkar) terus tangkap,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan seramai 525 individu ditahan sepanjang pelaksanaan PKP fasa ketiga berbanding fasa kedua (284) dan fasa pertama (96) yang membabitkan sejumlah 372 kertas siasatan sudah dibuka.

Katanya, jumlah tangkapan yang tinggi juga menyumbang kepada peningkatan kadar pematuhan PKP di seluruh Sabah yang ketika ini berada pada tahap 97.2 peratus.

Dalam perkembangan lain, Zaini turut menegaskan PDRM sentiasa meningkatkan kawalan di kawasan sempadan khasnya antara Indonesia dan Filipina daripada dibolosi rakyat kedua-dua negara jiran itu. - Harian Metro

Loading...
Share This