Ahad, 12 April 2020

COVID-19: Penumpang penerbangan KL-Tawau MH2664 diminta tampil jalani ujian

Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Tawau, menggesa penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 26 Mac lalu tampil menjalani ujian saringan COVID-19.
TAWAU : Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Tawau, menggesa penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 26 Mac lalu tampil menjalani ujian saringan COVID-19.

Memetik kenyataan di laman Facebook rasmi pejabat kesihatan berkenaan, keutamaan menjalani saringan adalah kepada penumpang yang duduk di barisan 18 hingga 24.

Berdasarkan kenyataan itu juga, penumpang terbabit diminta supaya menghubungi PKK Tawau di talian 016-4729314 atau 019-8695855 secepat mungkin bagi menjalani saringan COVID-19.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Christina Rundy, meminta orang awam supaya tidak panik dengan notis yang dikeluarkan pejabat kesihatan yang meminta kontak positif supaya tampil menjalani ujian saringan COVID-19.

Jelasnya, notis berkenaan dikeluarkan dari masa ke semasa bagi menghubungi kontak kes positif COVID-19 supaya mereka datang menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang terdedah kepada kes positif COVID-19 dapat dikesan lebih awal.

“JKNS amat menghargai usaha orang awam yang menghubungi Pejabat Kesihatan jika ada notis yang dimuat naik dalam laman sosial seperti facebook dan whatsapp oleh Pejabat Kesihatan,” katanya.

Setakat semalam, daerah Tawau merekodkan 70 kes positif COVID-19 dengan satu kes kematian.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sabah adalah 260 kes dengan tiga kematian direkodkan selain 103 kes pulih sepenuhnya.

Loading...
Share This